FINALY 11

Universiti Malaysia Kelantan, FTKW (2011) FINALY 11. [Photo Gallery]

[img]
Preview

Download (54Kb) | Preview

Abstract

Pereka fesyen pelapis generasi kreatif. BAGAIKAN pereka fesyen dan model profesional, sekumpulan penuntut tahun akhir jurusan elektif dan fesyen, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperagakan pelbagai fesyen menarik, sebagai tugasan sebelum menamatkan pengajian. Dengan iringan muzik, setiap pelajar memperagakan hasil karya masing-masing dengan bantuan model daripada kalangan kumpulan pelajar yang sama. Seramai 15 penuntut tahun akhir FTKW itu bertungkus lumus mencipta karya mereka dalam masa empat bulan sebelum memperoleh ijazah sarjana muda teknologi kreatif. Fakulti itu adalah yang terawal ditubuhkan bersama penubuhan UMK. Berpaksikan keperluan untuk mengkomersialkan seni warisan bangsa ke peringkat global dengan mengambil kira teknologi terkini, FTKW ditubuhkan untuk melestarikan produk seni kreatif dan warisan negara. Ia juga disokong dengan kursus elektif keusahawanan dan diperkukuhkan lagi dengan kursus kemahiran insaniah bagi membolehkan pelajar FTKW UMK, mahir bukan saja dalam seni fesyen kreatif malah menjadi manusia berguna dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Daripada 15 penuntut tahun akhir yang memperagakan hasil karya mereka, tiga pelajar meraih kejayaan kerana hasil karyan yang kreatif dan inovatif. Nur Atiqah Mohamed, 23, yang mengetengahkan motif teratai sebagai simbol perpaduan daripada masyarakat Melayu dinobatkan sebagai pemegang anugerah Koordinasi Terbaik. Mohd Ruzaini Abdullah, 24, yang mengetengahkan kertas kerja aplikasi Arabesque dalam rekaan tekstil dan fesyen memenangi anugerah Pereka Berpotensi Terbaik manakala Nadwah Abdul Rahman, 23, dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik, dengan hasil kajian kesan warna terhadap psikologi manusia. Mohd Ruzaini yang berasal dari Johor mempesonakan barisan hakim juri dengan koleksi gaun malam dan pakaian kasual ala Arab, yang digabungkan dengan unsur moden dan tradisional Islam. Penggunaan kain crepe, satin dan jacquard oleh Mohd Ruzaini menyuntik keanggunan ditambah dengan gabungan warna dan corak garang seperti kuning, hijau, oren serta biru. “Saya beruntung kerana selama dua bulan menjalani latihan di syarikat pereka fesyen terkenal iaitu Calvin Thoo bermula semester akhir Julai hingga September tahun lalu. “Sejak kecil saya memang berminat dalam bidang rekaan fesyen walaupun ketika di bangku sekolah menengah mata pelajaran seni kurang diberi perhatian,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu sambil menambah akan meneruskan pengajian dalam bidang rekaan sebelum menjadi pensyarah. Nur Atiqah, anak kesembilan daripada 10 beradik dari Kuantan, Pahang, mengetengahkan tujuh pakaian, termasuk gaun formal wanita, pakaian kasual lelaki, hiasan kepala wanita, topeng serta tas tangan, sekali gus melayakkannya memenangi anugerah Koordinasi Terbaik. Sementara itu, Nadwah yang berasal dari Melaka menjalankan kajian kesan warna terhadap psikologi manusia, khususnya remaja. “Daripada hasil borang kaji selidik yang diedarkan kepada 70 remaja Kelantan dan Terengganu, nyata mereka gemar terhadap warna terang seperti hijau pucuk pisang, merah, jingga dan biru. Hanya selepas mendapat hasil itu, saya aplikasikan gabungan warna berkenaan menjadi sebuah gaun, yang dihias dengan aksesori kipas, tas tangan serta hiasan kepala,” katanya. Anak ketujuh daripada 10 beradik itu turut menghasilkan tiga kemeja lelaki yang lebih sesuai untuk mereka yang berani tampil bergaya.

Item Type: Photo Gallery
Subjects: N Fine Arts > NX Arts in general
Deposited By: En. Shahrul Afzan Ibrahim
Date Deposited: 28 Jun 2012 14:46
Last Modified: 28 Jun 2012 14:46
URI: http://umkeprints.umk.edu.my/id/eprint/581

Actions (login required)

View Item View Item